Monthly Archive for "August 2007"



Umum emzek on 29 Aug 2007

Minggu Yang Sibuk

Assalamualaikum..

Untuk pengetahuan semua, minggu ni adalah minggu yang sangat sibuk. Saya baru je sampai dari Shantou, salah satu bandar di wilayah Guangdong. Di sana dipanggil bandar mainan.

Saya tidak dapat menulis panjang hari ini kerana ade banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Insya’Allah, dalam 2 atau 3 hari lagi saya akan menulis artikel mengenai pengalaman saya ke Shantou. Ia adalah salah satu peluang perniagaan yang ada di China.

Harap maaf semua.

-emzek-

Motivasi emzek on 25 Aug 2007

Adakah Anda Gagal?

Sering kali saya terdengar orang yang mengatakan dirinya GAGAL. Betul ke?

Pada saya, perkataan GAGAL seharusnya tiada dalam kamus seorang usahawan samada yang berniaga secara online mahupun offline. Sebenarnya seseorang itu TIDAK GAGAL tetapi BELUM BERJAYA. Kita tidak boleh menanamkan di dalam fikiran kita bahawa apa yang kita lakukan sebelum ini yang tidak mencapai apa yang kita inginkan itu gagal. Kadangkala apa yang kita suka itu membawa mudharat kepada kita dan yang kita benci itu membawa kebaikan kepada kita.

Tuhan pun menyebut tentang ni dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “..dan boleh jadi kamu benci sesuatu akan tetapi ia lebih baik bagi kamu dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu akan tetapi ia melarat bagimu. Allah mengetahui tetapi kamu tidak mengetahui.”

Daripada ayat di atas, kita seharusnya tidak merasa sedih sekiranya ape yang kita inginkan itu kita tak berjaya untuk dapatkannya. Ramai lagi usahawan yang kita lihat sekarang ni berjaya tetapi sebelum mereka berjaya mereka mungkin mengalami kesusahan yang lebih teruk dari kita alami. Tetapi yang menyebabkan mereka berjaya adalah kerana mereka tidak pernah menganggap diri meraka GAGAL.

Jadi, kepada mereka yang merasakan dirinya gagal, JANGAN. Anda sebenarnya bukan gagal tetapi belum berjaya. Mari kita meniti puncak kejayaan bersama.

-emzek-

Tip Perniagaan emzek on 23 Aug 2007

Barang Ape Yang Boleh Jual?

Assalamualaikum w.b.t.

Ini adalah satu soalan yang sering ditanya kepada saya apabila saya menceritakan yang saya menyediakan perkhidmatan membekalkan produk China ke Malaysia. Pada pendapat anda, apakah yang perlu saya jawab? Menceritakan semua barang yang ada di China? Kalaulah saya nak menceritakan semua barangan yang ada di sini, rasanya sampai seminggu pun tak habis. Hehe.

Saya juga pernah menanyakan soalan ini kepada kawan saya dulu sebelum saya memulakan perniagaan saya sekarang ni. Dan jawapan beliau adalah, ‘kau nak meniaga apa?’ Lepas je dia tanya balik saya, saya jadi blur. Tak tahu nak jawab ape yang saya minat. Jadi, dia menyuruh saya balik dan tulis apa yang terlintas di fikiran saya.

Untuk memulakan sesuatu perniagaan ni, anda perlu tahu apa yang ingin anda jual. Sekiranya anda blur untuk memilih produk untuk dijual, senang sahaja. Anda senaraikan semua yang terlintas di fikiran anda beserta dengan modal, harga jual, keuntungan, pasaran dan cara pemasaran.

Semua ini anda kena senaraikan untuk anda mendapatkan apa yang sepatutnya anda jual. Dengan anda senaraikan semua yang terlintas di fikiran anda, anda akan dapat mengenal pasti apa barang apa yang mendapat keuntungan lebih, risiko, sasaran pasaran dan lain2 lagi. Jadi, anda boleh la pilih mengikut kesesuaian anda.

Anda juga boleh memilih untuk menjual barang yang anda minat. Sebagai contoh, sekiranya anda minat memancing. Semestinya rakan anda adalah di kalangan kaki pancing. Jadi, anda boleh menjana duit dari hobi anda tu. Anda boleh menjual peralatan memancing kepada rakan-rakan anda. Dalam masa yang sama anda boleh dapat duit dari hobi memancing anda tu.

Satu lagi anda boleh jual barang yang permintaan tinggi pada masa tu. Sebagai contoh, pada masa sekarang permintaan untuk tilam air tinggi. Anda bolehlah menjual tilam air kerana permintaan yang tinggi. Tapi, anda mesti ingat selalunya kalau permintaan yang tinggi ni dalam masa yang sama saingan pun akan tinggi. Jadi anda mestilah kreatif dalam pemasaran anda untuk meningkatkan jualan anda.

Dan yang terakhir adalah menjual barangan keperluan orang ramai. Bagi saya perniagaan ni akan sentiasa berterusan kerana ia adalah keperluan orang ramai. Antara barang keperluan orang ramai ni adalah makanan, pakaian, ubatan dan pendidikan.

Saya harap dengan penerangan yang saya berikan dapat membantu anda untuk membuat keputusan, Insya’Allah.

Terima kasih.

-emzek-

Motivasi emzek on 22 Aug 2007

Buang Sifat Malas Anda

Assalamualaikum pembaca semua..

Saya tertarik dengan satu ayat yang saya baca dalam ruangan ekonomi Berita Harian 21 ogos. Dalam artikel itu ada satu ayat yang saya ambil sebagai motivasi bagi diri saya.

“Orang bodoh boleh diajar dan kalau lambat boleh dilatih supaya cepat.
Tetapi kalau malas, itu satu penyakit yang susah diubatkan.”

Memang betul apa yang dikatakan oleh beliau. Semua kelemahan boleh diperbaiki. Sekiranya kita tak pandai kita boleh belajar dari yang pandai. Sekiranya kita tak tahu, kita boleh bertanya pada yang tahu. Ape yang penting di sini ialah kemahuan kita.

Manakala sifat malas ni pula adalah satu sifat yang menjadi penyebab utama kepada kegagalan kita tak kira di dalam bidang perniagaan mahupun pelajaran. Walaupun kita ada kemahuan yang tinggi tetapi malas untuk melaksanakannya, kita tetap akan gagal.

Sebenarnya semuanya atas diri kita. Kita yang menentukan arah tuju kita. Kita boleh untuk melawan sifat malas. Saya yakin dengan semangat dan kemahuan kita untuk berjaya kita boleh melawan sikap malas.

Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri….” Surah Ar-Ra’du:11.

Daripada ayat di atas, kita dapat melihat sendiri yang Allah s.w.t. tidak akan mengubah diri kita kecuali kita sendiri yang ingin berubah. Maka, sama-sama kita fikirkan… Insya’Allah.

-emzek-

Tip Perniagaan emzek on 21 Aug 2007

Kenapa Bangsa Cina Maju?

Maaflah sekiranya tajuk topik saya ni nampak nak meninggikan bangsa cina. Saya sebenarnya bukan bermaksud untuk menjatuhkan bangsa kita sendiri, tetapi saya ingin kongsi dengan pembaca semua kenapa bangsa cina boleh maju. Saya berasa amat sedih kerana di Malaysia sendiri, majoriti usahawan yang berjaya adalah dari bangsa cina. Cuba kita lihat 10 individu terkaya di Malaysia, berapa ramai bangsa cina dalam senarai tu?

Adakah disebabkan mereka bangsa cina maka mereka boleh maju? TIDAK. Bangsa Cina dan Bangsa Melayu adalah sama sahaja. Bahkan dengan bangsa lain pun sama sahaja. Tiada beza pun pada semua bangsa. Yang penting adalah sikap individu tu sendiri. Tanpa sikap yang positif, seseorang individu tu tidak akan maju.

Salah satu sebab kejayaan mereka adalah mentaliti mereka dan dorongan mereka untuk berjaya. Sebagai contoh sekiranya mereka percaya yang sesuatu perkara tu boleh membawa keuntungan kepada mereka, mereka akan set di dalam minda mereka yang mereka boleh berjaya dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

Daripada pemerhatian saya, satu lagi sikap bangsa cina ni ialah sikap mereka yang mahu belajar. Saya tidak mengatakan yang bangsa kita tidak suka atau tidak mahu belajar. Tetapi bangsa cina ni apabila mereka nampak sesuatu perkara yang berpotensi untuk dimajukan mereka akan belajar tentang perkara itu. Mereka akan buat perkara tu dan dalam masa yang sama mereka belajar tentang perkara tu.

Disiplin. Ini adalah salah satu sikap yang paling penting untuk berjaya. Disiplin kerja bangsa cina ni memang bagi saya adalah tip top. Mereka boleh bekerja 9-5 sehari 7 hari seminggu. Sehinggakan bank di sini pun buka 7 hari seminggu. Sikap sebegini yang patut dtanam dalam jiwa bangsa kita.

Sikap tolong menolong sesama bangsa mereka pun antara penyebab utama kemajuan mereka. Sikap ni kita boleh lihat sendiri di Malaysia. Mereka akan bantu sesama mereka yang berniaga. Mereka bersatu untuk memajukan bangsa mereka. Sebagai contoh, sekiranya kita pergi membeli di kedai A, tapi barang di kedai A ni habis atau tiada, mereka rela pergi ke kedai B untuk ambil barang yang kita nak. Dalam masa yang sama mereka membantu sesama mereka.

Maaf sekali lagi sekiranya tulisan saya kali ni nampak merendahkan bangsa kita. Bukan niat saya untuk merendahkan bangsa Melayu, tetapi untuk berkongsi dengan semua tentang sikap orang cina yang membolehkan mereka berjaya. Kita pun boleh untuk setanding dengan mereka, bahkan lebih lagi sekiranya kita mengamalkan ape yang mereka lakukan. Dan yang penting sekali memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Insya’Allah.

-emzek-

Tip Perniagaan emzek on 19 Aug 2007

Produk China Tidak Berkualiti?

Assalamualaikum,

Seringkali saya terdengar orang mengatakan yang produk keluaran China tiada kualiti. Betul ke? Bagaimana pula dengan pendapat anda?

Mungkin pada pandangan mereka yang selalu membeli produk keluaran China di kedai RM2 atau kalau tak silap saya Super 199, YA. Tetapi pada pandangan saya TIDAK.

Mengapa saya mengatakan tidak? Ini kerana, produk China ni sebenarnya banyak gred kualiti. Memang saya akui yang produk mereka ada yang tidak berkualiti. Tetapi ada produk mereka yang kualitinya setanding dengan produk keluaran negara lain. Cume fikiran kita telah diset yang mengatakan produk keluaran negara China tidak berkualiti.

Produk mereka ni sebenarnya banyak yang berkualiti. Kita boleh lihat sendiri pada barangan yang ada di Malaysia sekarang. Berapa banyak barang keluaran negara China? Kebanyakan barangan di Malaysia sekarang, bahkan di negara lain di dunia ni datang dari China. Bahkan banyak syarikat gergasi membuka kilang mereka di China kerana kos yang murah di negara China. Tetapi mereka menjaga kawalan mutu supaya kualiti sentiasa terjamin.

So, kepada mereka yang mengatakan yang produk keluaran negara China ni tiada kualiti, cube fikirkan balik. Adakah anda membeli di kedai RM2? Atau anda membeli produk yang telah dikawal mutu keluarannya?

Terima Kasih.

-emzek-

Motivasi emzek on 18 Aug 2007

Dato’ Siti Nurhaliza

Sebenarnya saya baru je bangun tido ni, jadi kepala pun separuh aktif je. Dari tadi lagi nak menulis tetapi takde idea sehinggalah tertengok channel 9 tentang Dato’ Siti Nurhaliza.

Saya bukannya nak menulis pasal lirik lagu beliau, bukan juga pasal populariti beliau, tetapi saya tertarik kepada kejayaan beliau di dalam dunia hiburan. Pada saya beliau begitu cemerlang sebagai seorang artis tanahair.

Kenapa beliau begitu berjaya? Adakah kerana bakat beliau? Atau rupa beliau? Atau kerana nasib beliau? Bagi saya ini disebabkan kerana kemahuan beliau untuk berjaya. Sekiranya beliau tiada kemahuan untuk berjaya, sudah cukup hanya dengan memenangi bintang RTM. Sekiranya beliau tiada kemahuan untuk berjaya, mungkin kita tidak mengenali beliau sekarang.

Kerana kemahuan beliau, beliau terus melangkah dan berusaha untuk menjadi seorang artis yang berjaya. Beliau dapat menangkis semua gosip pasal diri beliau hanya kerana dia ada kemahuan untuk berjaya. Beliau meniti kejayaan demi kejayan, daripada satu album ke satu album, daripada satu anugerah ke satu anugerah, sehinggalah kini dia diberi anugerah Dato’.

Jadi, hanya kerana kemahuan Dato’ Siti Nurhaliza boleh berjaya, malah sangat berjaya. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita tak boleh berjaya? Tidak semestinya hanya di dalam bidang nyanyian kita boleh berjaya. Kita pun boleh berjaya di dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Yang pentingnya, kita ada kemahuan untuk berjaya. DIMANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN.

Marilah kita sama-sama meniti kejayaan. Terima Kasih.

-emzek-

Motivasi emzek on 16 Aug 2007

Kemahuan Untuk Belajar

Perjalanan menuju puncak (bukan Akademi Fantasia ni) masih jauh. Banyak lagi yang perlu dipelajari untuk menuju ke puncak. Antara pelajaran yang terbaik ialah belajar daripada pengalaman sendiri.

Pelajaran saya untuk membina blog pun masih banyak yang perlu dipelajari. Baru 2 hari saya memiliki blog sendiri. Ini adalah post saya yang ke-2. Mungkin banyak lagi kesilapan saya di dalam post saya ni yang saya sendiri tak sedar. Jadi, kepada pembaca yang mengesan kesilapan yang saya lakukan harap jangan segan untuk memberi komen. Saya menerima komen anda semua secara positif.

Bercakap tentang belajar, kita sebenarnya setiap hari sentiasa belajar dan belajar. Berbagai perkara yang kita belajar setiap hari secara sedar dan tidak sedar. Tidak semestinya bila digelar pelajar baru kita boleh belajar. Yang penting diri kita sendiri samada mahu belajar atau tidak.

Kita sebenarnya tidak perlu pandai untuk berjaya kerana kunci utama untuk berjaya adalah kemahuan untuk BELAJAR. Ini kerana setiap hari ada perkara baru yang kita terpaksa hadapi. Semua ini memerlukan kita untuk belajar perkara baru. Sekiranya anda seorang usahawan, setiap hari ada kaedah dan juga produk terbaru yang memerlukan anda untuk belajar.

Jadi, kepada anda semua, belajarlah selagi kita mampu untuk belajar. Ingatlah, anda tidak perlu pandai untuk berjaya tetapi yang penting kemahuan anda untuk belajar.

Selamat Belajar.

-emzek-

Umum emzek on 15 Aug 2007

Langkah Pertama

Pertama kali post di blog ni rase janggal je. Banyak lagi perlu dipelajari untuk memajukan diri untuk mengenali ape sebenarnya blog dan yang berkaitan dengan blog.

Sebenarnya telah lama saya ingin memiliki blog sendiri. Telah banyak ebook dan juga buku berkaitan dengan perniagaan internet saya telah baca. Tapi saya masih lagi kabur untuk memulakannya. Saya masih lagi tak tahu maksud sebenar blog. Sehinggalah saya terjumpa ebook ‘Pakej Kit Blogger’ dari smartZul. Terima kasih Zul. Melalui buku tu saya dapat mengenali ape maksud blog dan cara membuat blog.

Insya’Allah, dengan langkah pertama ni akan ada langkah kedua dan langkah-langkah seterusnya. Bak kata pepatah ‘Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama.’ Semua perkara mesti bermula dengan langkah pertama. Begitu juga dalam dunia perniagaan. Untuk mencapai kejayaan kita mesti bermula dengan langkah yang pertama.

Banyak lagi perancangan saya dalam dunia perniagaan internet. Buat masa sekarang saya akan tumpukan kepada usaha untuk menarik pembaca ke blog saya. Insya’Allah apabila langkah pertama saya ni dah boleh berlari, saya akan mulakan perancangan yang baru.

Sekian untuk kali ni.

-emzek-