Assalamualaikum…

Saya dapati pada bulan ramadhan ni, ramai usahawan ‘bermusim’ wujud. Usahawan ni kebanyakannya hanya untuk mencari duit raya lebih. Saya sendiri pernah berbual dengan seorang peniaga bermusim ni. Beliau memberitahu yang beliau boleh mendapat untung bersih sehingga RM5,000 untuk hanya sebulan berniaga. Wow! Lumayan tu.

Mungkin anda yang membaca artikel saya ni adalah salah seorang dari mereka. Tahniah! Anda telah menuju ke arah menjadi seorang usahawan. Kebanyakan mereka memilih bidang makanan sebagai ‘kerjaya’ sementara mereka di bulan puasa. Ini kerana bidang makanan tidak memerlukan modal yang tinggi dan ia mendapat pulangan yang agak lumayan.

Langkah kerajaan dengan membuka banyak bazaar ramadhan di seluruh negara menjadikan para usahawan makanan mendapat peluang untuk berniaga pada bulan ramadhan. Saya lihat ramai usahawan muda yang mengambil kesempatan untuk berniaga pada bazar ramadhan ni.

Tidak kurang juga yang memilih bidang lain seperti pakaian. Pakaian juga salah satu perniagaan yang mendapat permintaan yang sangat tinggi pada musim perayaan. Tetapi tidak ramai usahawan bermusim memilih bidang pakaian kerana terpaksa menyimpan stok sekiranya pakaian mereka tidak habis dijual.

Jalan TAR dan Jalan Masjid India adalah syurga para usahawan pakaian pada bulan ramadhan. Ramai usahawan pakaian mendapat hasil berlipat kali ganda. Ini disebabkan di sana adalah tempat tumpuan orang ramai untuk membeli pakaian. Ada yang mendapat keuntungan bersih sehingga RM50,000 untuk sebulan berniaga pakaian di sini. Boleh bercuti sehingga ramadhan tahun depan. Hehe.

Ada juga yang mengambil kesempatan menjual mercun pada bulan puasa. Tapi saya tidak suka menggelar diri mereka sebagai usahawan kerena mereka menjual barangan yang membahayakan dan juga barangan yang boleh mengganggu ketenteraman orang ramai. Mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keburukannya.

Sebenarnya banyak lagi peluang perniagaan yang wujud pada bulan ramadhan ni. Cuma kita perlu kreatif memikirkan apa jenis perniagaan untuk dijalankan. Dan dalam menjalankan perniagaan, amal ibadat jangan dilupakan kerana di bulan ramadhan lah kita sepatutnya menggandakan amal ibadat kita.

-emzek-

ps : kepada anda yang mempunyai idea perniagaan pada bulan ramadhan boleh la kongsi di sini.